comscore
Tumpuan :
Nasional

Bahan pelarut buangan sisa industri disahkan punca pencemaran udara sekitar Johor Bahru

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Pencemaran bau di beberapa kawasan di sekitar daerah ini sejak beberapa minggu lalu dikenal pasti berpunca dari bahan pelarut organik bukan terhalogen (SW 322) dan bahan pelarut organik terhalogen (SW 323).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya telah menerima ujian sampel dari Jambatan Kimia yang diambil di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Kawasan Perindustrian Desa Tropika baru-baru ini.

Katanya, susulan itu pasukan khas yang ditubuhkan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melaksanakan operasi pemeriksaan besar-besaran terhadap lebih 150 buah kilang di sekitar daerah ini yang disenaraikan menghasilkan sisa buangan itu.

”Setakat ini, kita dapati bahan buangan itu banyak digunakan industri seperti industri plastik, penghasilan makanan dan pembungkusan, usaha mengesan kilang yang terbabit sedang giat dijalankan” katanya selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024, di Sungai Tebrau, pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja pembersihan sungai di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Kawasan Perindustrian Tropika dijangka siap sepenuhnya esok.

“Dua lokasi pembuangan sisa kimia secara haram ini dalam fasa akhir pembersihan, proses ini berjalan lancar dan mudah-mudahan kerja-kerja pembersihan ini selesai esok.

Baru-baru ini beberapa lokasi termasuk Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin, Kawasan Industri Desa Tropika, Kampung Maju Jaya, Kampung Tawakal serta Kampung Plentong Baru di cemari bau hingga kualiti udara jatuh mendadak.

Ia dikesan berpunca dari sisa buangan bahan kimia yang di buang secara haram ke dalam sungai kawasan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini