TAIPEI: Jabatan Kesihatan Taipei semalam mengumumkan dua jenis mi segera buatan jenama Malaysia dan Indonesia dikesan mengandungi bahan yang mendorong penyakit kanser.
Agensi berita CNA melaporkan, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap mi segera yang terdapat dalam pasaran di Taipei, tahun ini.
Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, pihaknya mendapati satu kumpulan mi segera berjenama ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan satu lagi kumpulan mi segera berjenama ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia, mengandungi etilena oksida yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia.
Berdasarkan maklumat dalam laman sesawang Biro Bahan Kimia dan Toksik bahawa Pentadbiran Perlindungan Alam Sekitar peringkat Kabinet, etilena oksida adalah beracun apabila dimakan atau dihidu.
Ujian dijalankan berjaya mengesan etilena oksida dalam kedua-dua mi dan peket perisa produk Malaysia terbabit, manakala produk Indonesia berkenaan pula hanya terkandung dalam peket perisa.
Peruncit, yang sampel mi segera berkenaan diambil tetapi tidak didedahkan, diarahkan untuk menarik balik penjualan kedua-dua produk terbabit, dan pengimportnya pula akan didenda antara NT$60,000 (kira-kira RM8,600) hingga NT$200 juta (kira-kira RM28.87 juta), menurut jabatan itu.
Selain mendorong penyakit limfoma serta leukemia, etilena oksida juga boleh mengakibatkan kerengsaan pada kulit dan mata yang terkena bahan terbabit, malah ia berisiko menyebabkan kecacatan kelahiran serta keturunan.
Ketua Bahagian Makanan dan Ubat-Ubatan, Jabatan Kesihatan Taipei, Chen Yi-ting, berkata pemeriksaan mi segera dilakukan dengan memilih secara rawak 30 produk dari pasar raya, kedai serbaneka, pasar raya besar, pasar basah tradisional, kedai makanan Asia Tenggara dan pengimport borong di bandar itu.