Tumpuan :
Nasional

Bahagian belakang treler tertanggal, terbalik di lebuh raya

Foto tular

JOHOR BAHRU: Bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan konkrit tertanggal sebelum terbalik di Kilometer 10.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh kejadian pada jam 2.35 petang itu menyebabkan muatan konkrit jatuh atas lebuh raya terbabit.

Beliau berkata, kejadian berkenaan tular di sebuah akaun Facebook (FB) komuniti setempat selain laporan polis diterima pada 5.34 petang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila ekor treler yang membawa muatan batu konkrit panjang tertanggal dan terbalik di lorong kiri jalan.

Foto tular

“Keadaan itu menyebabkan muatan batu konkrit itu menghalang lorong sebelah kiri jalan dan hanya lorong kanan boleh digunakan kenderaan lain,” katanya menerusi kenyataan media malam tadi.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dialami pemandu lori berkenaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 26 tahun.

Menurutnya, kejadian disiasat bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarian Mohd Shahrizah Mohd Lauri menerusi talian 014-6633283,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini