BANDAR HILIR: Seorang pekerja asing maut manakala dua lagi cedera dalam runtuhan bangunan di jalan bukit senjuang di Bandar Hilir, Melaka petang semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, ketiga-tiga mangsa sedang bekerja di tapak bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan itu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, Raja Saiful Iswandy Raja Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.18 petang sebelum 81 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan Padang Temu tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Katanya, mangsa pertama dan kedua, masing-masing berumur 30 dan 40-an yang berasal dari Pakistan ditemui pada jam 6.40 petang dan 8.38 malam.
Kedua-dua mangsa Zubair Ahmed, 32, dan Abbas Ghulam, 49, katanya, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Melaka.
Mangsa ketiga yang dikenali sebagai Jidan, 22 dari Bangladesh ditemui pada jam 9.55 malam, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
“Bila mangsa pertama dikeluarkan dimaklumkan ada kawan di belakang jadi kita dapat keluarkan melalui proses pemecahan batu daripada atas pemotongan besi dan dia kita dapat keluarkanlah dia selamat daripada antara konkrit tu.
“Kerja-kerja menyelamatkan mangsa dilakukan dengan kekuatan seramai 81 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan BBP Melaka Tengah,” katanya.
Tambahnya, pihak bomba menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa ekoran keadaan batu konkrit dan cerucuk yang membahayakan.
Katanya, sebelum kejadian, terdapat enam pekerja warga asing sedang menjalankan kerja-kerja binaan di tapak bangunan setinggi tiga tingkat itu.
Pihaknya juga sedang menyiasat punca kejadian di tapak binaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.