comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Badrul banyak sangat cakap soal mati’ – Zazly Baginda

Allahyarham Badrul disahkan meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang, pagi tadi. – FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Aktor popular, Allahyarham Badrul Muhayat, 55, yang meninggal dunia ketika tidur pagi tadi sering bercakap soal kematian sejak sebulan lalu, menurut rakan terdekatnya, Zazly Baginda.

Malah, arwah katanya pernah menceritakan bahawa dirinya seolah-olah hendak pergi meninggalkan dunia ini.

​​​​​​​“Dia banyak sangat cakap soal mati. Dalam masa dua ke tiga bulan ini memang kami terlalu rapat hingga kalau kami terbabit dalam program sama, kami akan pergi tidur satu homestay (inap desa).

“Arwah ini baik orangnya dan dia sudah buat perancangan untuk ke Sabah bagi menyertai karnival sama di sana tetapi tidak kesampaian,” katanya di sini, hari ini.

Berita pemergian mengejut pelakon terbabit turut memberi tamparan besar kepada rakan artis lain.

Bagi Nadia Kesuma, dia bersama beberapa artis termasuk Allahyarham ke Pulau Pinang untuk menyertai karnival yang dianjurkan UDA Holdings Bhd (UDA) di Jalan Baru, Perai, dekat sini yang bermula semalam.

“Kami berada di sini (Pulau Pinang) sejak Khamis lalu dan sepanjang tempoh ini arwah tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia mengalami masalah kesihatan.

“Saya tahu arwah ada menghidap penyakit kencing manis namun keadaannya semakin sihat berbanding dulu,” katanya.

Mengulas lanjut, Nadia Kesuma berkata, Allahyarham Badrul seorang yang ‘energetic’, suka bergurau dan mudah mesra dengan sesiapa saja.

“Sejujurnya saya agak ralat kerana tidak sempat bersapa dengan arwah disebabkan semalam hari pertama kami berniaga dan sibuk membuat persiapan.

“Ingat nak datang berniaga hari ini dapat tegur dia tetapi dimaklumkan berita mengenai pemergian arwah yang mengejutkan kami apatah lagi semalam dia nampak sangat sihat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan aktor berkenaan meninggal dunia dalam tidur di sebuah inap desa di Permatang Pauh, dekat sini, pagi tadi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini