comscore
Tumpuan :
Nasional

Badal haji palsu: Pastikan siasat dahulu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melawat Pusat Rawatan TH di Makkah, malam tadi . – Foto : NSTP

MAKKAH: Rakyat Malaysia yang beragama Islam, perlu melakukan ‘siasatan’ terlebih dahulu sebelum mengambil perkhidmatan badal haji ditawarkan individu atau syarikat yang tidak dilesenkan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar .

Katanya ia adalah pendekatan terbaik bagi mengelak mereka yang berhasrat melakukan badal haji, daripada menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata,  kes sedemikian sudah banyak kali berlaku dan peringatan juga sentiasa diberi oleh TH mengenainya.

“Al-Quran dan hadis juga mengajar kita supaya menyiasat betul-betul mengenai suatu perkara itu. Kita sentiasa memberi peringatan supaya perbuatan scammer berkait badal haji ini tidak terus berleluasa.

“Jika seseorang itu mahu mengambil perkhidmatan badal haji yang bukan ditawarkan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH, dia perlu menyiasat betul-betul supaya tidak tertipu. Kita tidak mahu badal haji menjadi ‘bedal haji’,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan TH di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Justeru, Mohd Na’im berkata, rakyat Malaysia yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan badal haji boleh merujuk senarai PJH dalam laman sesawang TH, yang dilesenkan selepas memenuhi syarat ketat dan kemungkinan berlaku penipuan adalah tipis.

Ditanya punca masih ada mangsa terjerat penipuan tawaran badal haji walaupun sudah kerap diberi peringatan, beliau berkata, rakyat Malaysia secara umum terkenal dengan ‘hati lembut’ dan mudah mempercayai, terutama apabila membabitkan urusan ibadah.

Katanya, mangsa penipuan kegiatan berkenaan dinasihatkan membuat laporan polis, manakala yang lain pula diharap mengambil iktibar daripada kes sedemikian.

“Kepada scammer pula, saya nasihat supaya jangan disebabkan menipu ribuan ringgit itu, kita dibakar pada hari akhirat kelak… takutlah kepada Allah SWT,” katanya.

Loading...
Terkini