Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PUTRAJAYA: Bacaan Qunut Nazilah tidak sepatutnya digunakan untuk mendoakan kehancuran terhadap seteru politik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia merupakan perbuatan melampau dan menyalahi prinsip Islam.
“Saya sebagai Menteri Dalam Negeri ingin mengingatkan bahawa sebarang bentuk serta amalam ekstremis dan pelampau seperti ini harus ditolak oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata demikian pada sidang media di sini hari ini.
“Saya katakan bahawa perbezaan politik tidak sepatutnya disamakan dengan pendekatan takfiri atau khawari yang melihat berbeza politik itu sebagai lawan yang kita patut doakan kehancuran.
“Ini bukan akhlak politik Islam, perbezaan pandangan politik tidak boleh jadi alasan untuk menghakimi iman atau soleh seseorang itu,” ujarnya.
Semalam, Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail membaca Doa Qunut Nazilah selepas Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama enam bulan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa