KUALA LUMPUR: Penyanyi kontroversi Baby Shima akan bertanding sebagai calon bebas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos depan.
Baby Shima mengumumkan berita itu menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG), hari ini bagaimanapun tidak mendedahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan negeri bakal bertanding.
“Assalamualaikum rakyat Malaysia. Dengan ini, saya ingin mengumumkan akan bertanding PRN untuk berkhidmat dan membela rakyat.
“Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya,” katanya dalam petikan video yang dimuat naik.
Selain itu, Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 30, juga belum bersedia mendedah manifestonya.
“Saya akan mengumumkan kawasan dan manifesto kemudian.
“Objektif saya menyertai politik untuk membela nasib rakyat agar beban dihadapi dapat diselesaikan,” katanya
Pelakon Pantun Janda itu juga menjadikan artis yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebagai inspirasi.
Antaranya, Datuk Aishah, Datuk Dira Abu Zahar, Herman Tino, Azwan Ali, Ahmad Idham, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Lando Zawawi pernah tampil sebagai calon bebas pilihan raya sebelum ini.