comscore
Tumpuan :
Nasional

Babitkan doktor muda dalam Jawatankuasa Peringkat Tertinggi – HDK

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang ditubuhkan kerajaan bagi menangani isu doktor kontrak mesti disertai kakitangan di hospital termasuk doktor muda.

Gesaan itu dibuat Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK)  memandangkan jawatankuasa dan perbincangan sudah diwujudkan sebelum ini.

Wakil HDK berkata, sekiranya perkara itu tidak dilakukan, penyelesaian yang bersesuaian dengan doktor kontrak tidak akan dicapai, seterusnya mengakibatkan kemelut itu berlanjutan.

“Jawatankuasa ini perlu membabitkan pegawai pada peringkat tertinggi iaitu mereka yang boleh membuat keputusan.

Contohnya, Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu berada di sana, begitu juga Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Doktor muda termasuk daripada HDK juga perlu disertakan. Tiada guna keputusan untuk kumpulan doktor muda diputuskan tanpa pembabitan dan persetujuan mereka,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini kumpulan doktor muda sendiri berasa was-was dengan penubuhan jawatankuasa baharu itu memandangkan sudah diwujudkan jawatankuasa sedemikian sebelum ini, tetapi masih gagal menyelesaikan masalah itu.

“Jawatankuasa demi jawatankuasa diwujudkan tetapi masih belum ada penyelesaian. Kita berharap ia diputuskan dengan tindakan tetap diambil.

“Isu ini sudah berlanjutan tujuh tahun iaitu sejak 2018 dan kita berharap keputusan serta penyelesaian ada dengan kewujudan jawatankuasa baharu ini,” katanya.

Menyentuh mengenai mogok yang dirancang selama tiga hari, bermula esok, wakil HDK berkata, ia boleh dilaksanakan tanpa merisikokan nyawa dan kesihatan pesakit.

“Mogok adalah perkara biasa dalam industri, tetapi di Malaysia sekiranya terjadi, pesakit akan mendapat risiko. Berbanding di United Kingdom, doktor kanan yang membantu sekiranya ia berlangsung, malah ada pelan tertentu.

“Pada hartal 2021, ada yang mendakwa ia memberi kesan kepada pesakit, tetapi tidak ada pesakit terjejas pun ketika ia dijalankan selama dua jam, ketika kes COVID-19 memuncak. Ini membuktikan jika melalui perancangan rapi, sistem kesihatan negara tidak akan terkesan,” katanya.

Loading...
Terkini