Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allayarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia petang semalam, masih terkejut dengan pemergian bapanya akibat serangan jantung.
Menurut anak Allahyarham, Muhammad Iszul Imadi, 30, bapanya yang merupakan ahli sukan tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini.
Katanya, Allayarham yang merupakan bekas pemain bola sepak negeri Perak masih aktif bersukan walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai wakil rakyat.
“Jumpa babah pagi tadi, dia okay saja, tak ada sakit. Tadi pun dia main bola, dia kan pemain bola.
“Memang tak ada perubahan. Dia hari-hari jogging, sebab itu yang (kami) terkejut, dia tak ada masalah kesihatan,” katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) malam tadi.
Beliau mengiringi ibunya, Rozlita Abdullah, 55, ke HPP petang tadi.
Jenazah Allayarham selesai dibedah siasat kira-kira jam 9 malam (Sabtu).
Kenderaan yang membawa jenazah meninggalkan perkarangan HPP pada jam 10.40 malam.
Urusan pengebumian akan disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh pagi esok (Ahad).
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang baru pulang dari lawatan kerjanya di Jepun turut menziarahi keluarga mangsa di HPP dan menzahirkan ucapan takziah.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarham yang meninggal dunia petang tadi semasa perlawanan bola sepak.
“Ini adalah berita yang mengejutkan, tetapi hakikat yang kita perlu terima,” katanya selepas menziarahi keluarga.
Pemimpin Umno Perak dan Pulau Pinang, termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Shaik Hussein Mydin dan setiausaha, Datuk Shah Headan Ayoob Shah turut hadir.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata serangan jantung dikenalpasti punca kematian.
“Bedah siasat telah selesai lebih kurang jam 9 malam. Punca kematian adalah ‘Acute Coronary Syndrome’ (serangan jantung),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Allayarham rebah selepas mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak di Stadium Bandaraya, George Town, kira-kira jam 5.20 petang.
Beliau dibawa ke Jabatan Kecemasan HPP pada jam 5.40 petang, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.28 petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.