KUALA LUMPUR: Golongan B40 bakal menerima lebih banyak subsidi berbanding sekarang dengan pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan bukan mahu menghapuskan subsidi, tetapi mahu ia disasarkan kepada golongan yang lebih memerlukan.
“Kita perlu berhati-hati, melaksanakan subsidi bersasar ini bukan bermaksud kita mahu hapuskan subsidi, sebaliknya akan ada golongan yang sebenarnya lebih memerlukan dan akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan subsidi bersasar ini.
“Tetapi golongan yang tak sepatutnya dapat subsidi seperti saya dan (Timbalan Menteri Ekonomi) Datuk (Hanifah Taib), tak perlulah dapat subsidi. Sekarang ini, kamu pun dapat dan dalam banyak subsidi seperti petrol dan elektrik, yang banyak dapat (manfaatnya) adalah kami.
“Kerana itu, dari perspektif mengurangkan kos kerajaan semata-mata, kita mahu memastikan untuk mengalihkan supaya yang sepatutnya dapat, akan dapat lebih, ini akan memberi perspektif yang lebih tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Kick-off Dialog Strategik Bersama Menteri Ekonomi: Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Peridustrian Ke-4 di sini, hari ini.
Rafizi berkata, setiap kali berlaku kenaikan harga barang, golongan sasar akan lebih terkesan dibandingkan golongan T20 yang tidak begitu terasa kerana mempunyai pendapatan yang lebih besar.
“Kerana itu ia (subsidi bersasar) adalah serampang dua mata, ia bukan setakat untuk konsolidasi fiskal kerajaan, tetapi memastikan kesaksamaan dengan memastikan sumber ini benar-benar sampai ke kumpulan yang sewajarnya menerima dan mereka yang wajar lebih dibantu dalam menangani kenaikan kos sara hidup sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, berkata kerajaan akan mengaktifkan semula platform PEMUDAH bagi mengukuhkan komunikasi antara sektor awam dan swasta.
Katanya, Kementerian Ekonomi juga akan memberi tumpuan untuk menghapuskan birokrasi pentadbiran untuk pemain Revolusi Industri Ke-4 (4IR) supaya mereka boleh merasai persekitaran yang lebih sihat untuk mengembangkan perniagaan.
“Kami berharap usaha ini akan menjadikan Malaysia destinasi dan pasaran yang lebih mesra perniagaan.
“Ini penting dari perspektif pelaburan kerana kemudahan menjalankan perniagaan juga menentukan daya saing kita,” katanya.
PEMUDAH, atau Pasukan Petugas Khas Memudahkan Perniagaan, adalah inisiatif kerajaan yang ditubuhkan pada 2007 untuk memudahkan kerjasama sektor awam-swasta.
Ia bertujuan untuk meningkatkan peranan sektor swasta sebagai pemacu utama produktiviti dan pertumbuhan ekonomi, serta menjalin hubungan strategik yang kukuh dengan kerajaan.