comscore
Tumpuan :
Nasional

Azzrulkhan sumber inspirasi pendaki

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

GOMBAK: Kekurangan fizikal bukanlah satu penghalang untuk seseorang insan mencapai impian dan melakukan perkara yang diminatinya.

Walaupun tidak mempunyai kaki yang sempurna seperti insan normal, Azzrulkhan Hasrullah Matsah tetap positif meneruskan hobi mendaki.

Azzrulkhan berkata kekurangan fizikal tidak bermakna dia harus melupakan minatnya pada aktiviti lasak itu.

Tahun 2018 merupakan tahun paling bermakna buat individu yang lebih mesra dipanggil Adam ini.

Dia berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp dan menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) pertama sampai ke tempat itu walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

“Sepanjang perjalanan macam-macam cabaran saya hadapi. Hari kelima saya dah rindu Malaysia, saya dah nak balik dah. Masa itu dalam kepala saya memang nekad, ini lah kali terakhir hiking.

“Dengan cuacanya yang sejuk lagi. Cabaran lebih buat saya, sebab saya merangkak dan mengesot, jadi apabila saya bergerak, muka saya akan menunduk ke bawah.

“Apabila ribut pasir, memang masuk mulut, hidung. Ditambah lagi dekat sana semua tahu yang banyak yak. Jadi sepanjang perjalanan tu, penuh denga najis yak. Ada yang boleh elak, ada yang saya tak dapat elak,” katanya.

Menceritakan kali pertama dia berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian, pada awalnya dia melihat satu gambar swafoto di media sosial milik rakannya di puncak sebuah bukit dalam negara.

Dari situ muncul perasaan ingin tahu mengenai aktiviti berkenaan.

Tanpa disangka ramai yang memberikan sokongan untuk dia menyertai sukan ini membuatkannya rasa terharu.

“Jadi pernah saya pergi mendaki di satu tempat tu, penuh dengan orang menunggu nak turun ke bawah. Masa saya nampak tu, bergegar lutut saya..ya lah kita tak tahu tanggapan orang apa kan, orang herdik ke apa ke.

“Tapi saya teruskan juga sampailah lalu depan mereka. Bila saya lalu, saya dengar mereka riuh bertepuk tangan, bersorak. Malah ada yang jerit boleh bang boleh.

“Jadi bila saya dengar  macam itu, dia macam berlawanan dengan apa yang fikir, rupanya ramai orang sokong, terima dan berikan tanggapan baik,” ujarnya.

Katanya, kehidupannya berubah selepas menceburi aktiviti ini.

Dia kini lebih aktif mendaki walaupun mengakui ketika di universiti dan di sekolah, dia tidaklah begitu suka melakukannya.

Jelas Adam, bukan mudah menjalani hidup sebagai pesakit polio yang menyebabkan dia tidak dapat bergiat aktif sejak kecil.

“Saya sebenarnya merupakan bayi kelahiran pramatang. Lepas itu saya kena demam panas pulak. Sampailah saya diterbangkan ke HKL dari Kuching, Sarawak kerana keadaan saya dah kritikal ketika itu.

“Disebabkan polio, kaki saya lumpuh dari pinggang sampai ke bawah. Ramai yang salah faham, saya ada kaki, ramai ingatkan saya tiada kaki, sebab saya suka bengkokkan kaki saya atas kerusi roda, sebab saya selesa duduk macam itu.

“Kaki kiri saya sebenanrya masih lagi boleh bergerak kuat, cuma tak boleh lurus. Yang sebelah kanan pula dia boleh lurus tapi lemah lah. Tambah pula, saya ada skoliosis.

“Kalau boleh kita ubah perspektif kita, kita tak boleh kawal benda yang kita tak boleh kawal. Kita tak boleh risau benda yang kita tak boleh kawal, jadi buat apa risau benda yang kita tak boleh kawal. Kita tengok dekat mana kita boleh salurkan kekuatan kita, dekat situ kita fokus.” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini