comscore
Tumpuan :
Nasional

Azlee Senario dirawat di Institut Jantung Negara 

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Azlee Senario dirawat di Institusi Jantung Negara (IJN) di sini dipercayai akibat komplikasi jantung.

Terdahulu Azlee Jaafar, 56, dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di Sungai Buloh, malam tadi.

Namun, tidak lama selepas dirujuk di HSB, Azlee dihantar ke IJN untuk rawatan lanjut.

Sahabatnya, Saiful Apek berkata, difahamkan Azlee berpeluh-peluh sebelum pengsan, lalu, keluarga segera bertindak menghubungi ambulans.

“Pada mulanya, Azlee dibawa ke HSB tetapi kemudian dipindahkan ke IJN.

“Saya tidak sempat melawat, namun, Lan Pet Pet dan Yassin yang pergi ke hospital malam tadi, beritahu, Azlee sudah sedar,” katanya kepada BH Online.

Saiful berkata, dia tidak pernah tahu atau mendengar Azlee mengadu mengenai masalah jantung.

“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan Azlee hadapi masalah jantung. Selama ini, dia atau isterinya tidak pernah bercerita kepada kami.

“Tidak tahulah kalau selama ini, Azlee sengaja rahsiakan. Apa yang saya tahu, Azlee ada masalah gout. Setiap kali sakit, dia akan ke klinik untuk cucuk ubat tahan sakit.

“Walaupun Azlee sudah sedar, sedikit sebanyak, sebagai kawan tentulah saya risau dengan keadaannya,” katanya.

Saiful berkata, sepatutnya, Azlee dan teman Senario berangkat ke Kelantan untuk menjayakan persembahan dibawakan produk minyak wangi, hari ini.

Namun, disebabkan sudah memberi komitmen, dia dan teman-teman lain perlu penuhi undangan itu.

“Biarlah Azlee rehat dahulu. Kami tidak mahu kejadian menimpa Allahyarham Hamdan berulang. Kalau keadaan kesihatan tidak mengizinkan, lebih baik Azlee rehat,” katanya.

Terdahulu, berita mengenai Azlee dikongsi pelawak Ropie pada entri Instagram (IG). Melalui hantaran itu, Ropie berkongsi foto Azlee berada dalam ambulans.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini