KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan Azhari Muhidin sebagai Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen dan Kamaruddin Mape sebagai Pengurus Besar, On Air Presentation (OAP), Divisyen NCA berkuat kuasa 1 Disember ini.
Azhari dan Kamaruddin akan melaporkan kepada Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Jasbant Singh.
Media Prima berkata, latar belakang Azhari dan Kamaruddin yang luas serta kepemimpinan mereka yang terbukti akan memainkan peranan penting dalam mengangkat objektif Media Prima.
Katanya, Azhari akan memimpin pengurusan harian NCA Television Networks dan pada masa sama terus mengetuai Unit Advertorial NCA.
Berpengalaman lebih 30 tahun bersama Media Prima, Azhari berkhidmat dalam pelbagai jawatan daripada wartawan penyiaran hingga jawatannya yang terkini sebagai Timbalan Pengarang Kumpulan NCA.
“Sepanjang empat tahun lalu, beliau menunjukkan kepemimpinan editorial yang cemerlang ketika menerajui Unit Advertorial, penyumbang utama kepada prestasi kewangan Kumpulan.
“Rekod prestasi Azhari yang terbukti meletakkan beliau sebagai aset yang tidak ternilai kepada Kumpulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Media Prima berkata, Kamaruddin akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Sumber Manusia untuk membangunkan dan melaksanakan program OAP yang memberi impak.
Kamaruddin akan menyelia penyusunan semula Jabatan OAP, satu inisiatif kritikal yang bertujuan meningkatkan mutu editorial, persembahan berita dan keupayaan pengeluaran merentas semua platform.
“Dengan pengalaman luas sebagai Pengarang Kumpulan sejak empat tahun lalu, selain kerjaya sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran yang serba boleh, Kamaruddin berupaya untuk memacu inisiatif Jabatan OAP ke tahap yang lebih tinggi.
“Kepemimpinannya akan memastikan OAP memberikan nilai bukan saja kepada kakitangan NCA tetapi juga kepada mereka di seluruh platform Media Prima, termasuk New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.