Oleh Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Minatnya terhadap kraftangan piuter mula bercambah sebaik memulakan karier pertamanya di syarikat pembuat barang piuter tersohor negara 23 tahun lalu.
Sejak itu dalam diam, Salini Idris, 51 tahun, berazam untuk terus memartabatkan seni piuter kerana nilai estetikanya yang ‘luar biasa’.
Anak jati Sungai Siput, Perak ini juga merupakan satu-satunya tukang piuter wanita di Malaysia.
Mengakui pembuatan kraftangan tersebut bukanlah sesuatu yang popular, ia bukan penghalang buatnya untuk terus berkecimpung dalam seni pembuatan kraf halus itu.
“Kraftangan piuter miliki nilai estetika yang luar biasa, bukan buat untuk jual sahaja tapi kita buat dengan penuh kasih sayang”
“Pembuatannya yang halus dan unik menyebabkan saya jatuh cinta padanya, walaupun tangan sering cedera sewaktu pembikinan sesebuah aksesori piuter”, katanya.
Dalam pada itu, dia yang mesra dengan panggilan ‘Aunty Lini’ tidak menafikan dunia perniagaan terlalu banyak cabaran, jika tidak mempunyai ilmu berniaga dan semangat yang kental pasti akan kecundang sebelum waktunya.
“Kita (usahawan) kecil-kecilan sentiasa akan berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuklah dari segi kenaikan harga barang mentah, sewa kedai yang mahal, rekaan diciplak, dan produk tiruan”
“Mahu atau tidak, cabaran itu terpaksa ditempuh kerana kita memerlukan pendapatan berterusan untuk kita meneruskan perniagaan kraftangan ini, salah satunya mula teroka ruang perniagaan dalam talian”, ujarnya kepada Buletin TV9.
Meskipun pasaran logam itu kurang nilainya jika hendak dibandingkan dengan logam lain seperti emas dan perak, Salini tetap mahu meneruskan penghasilan kraftangan piuter.
Akuinya, jika kraftangan piuter dikemas kini mengikut permintaan aliran semasa sudah pasti perhiasan tersebut akan kekal relevan sepanjang zaman.