KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bukan anggota Lembaga Pengampunan dan tidak terbabit dalam pengampunan mana-mana banduan.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) berkata, pihaknya hanya bertindak sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan.
Katanya, Lembaga Pengampunan wujud di semua peringkat negeri dan dipengerusikan Sultan atau Yang Dipertua Negeri bagi setiap negeri.
“Setiap Menteri Besar atau Ketua Menteri turut menjadi anggota Lembaga Pengampunan itu. Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula, Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terbabit dengan sebarang urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, disebabkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dianggap sebagai entiti setaraf negeri, menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menjadi anggota Lembaga Pengampunan itu seperti diperuntukkan mengikut Fasal (11) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.