Tumpuan :
Nasional

Azalina ikrar tangani dan pinda undang-undang lapuk agar relevan dengan keadaan semasa

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Selaku Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said berikrar untuk menangani isu undang-undang lapuk dan melaksanakan pindaan diperlukan supaya relevan dengan keadaan semasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azalina antaranya berkata pindaan itu termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya untuk memelihara kebebasan budi bicara Pendakwa Raya.

“Saya juga akan memastikan isu-isu yang perlu diberi perhatian, termasuk status kewarganegaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia akan terus menyaksikan kemajuan berterusan dan mana diperlukan, undang-undang akan diperbaharui untuk mengembalikan semula hak kepada golongan rentan, terpinggir dan mereka yang tidak menerima layanan sama rata dalam negara kita,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berkenaan Azalina berkata terdapat banyak cabaran di hadapan menanti perjalanan Kerajaan Perpaduan ini, mengambil kira kesan pandemik COVID-19 dan jangkaan kemelesatan ekonomi tahun depan.

“Portfolio saya terajui melibatkan aktiviti yang merentas kerajaan, saya sedia untuk bekerjasama dengan wakil rakyat yang dipilih daripada pelbagai parti untuk menangani cabaran ini,” katanya.

Dengan pengalaman luas sebagai ahli Kabinet dan menerajui pelbagai kementerian sejak 2004, Azalina mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2004 dan wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2020.

Azalina juga merupakan Menteri Pelancongan dari 2008 sehingga 2009 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam hal ehwal undang-undang dari 2015 hingga 2018.-BERNAMA

Loading...
Terkini