Tumpuan :
Nasional

Ayam di Pedas, Negeri Sembilan selamat dimakan

KUALA LUMPUR: Semua sampel ayam yang diambil dari sebuah kilang pemprosesan dekat Pedas, Negeri Sembilan didapati negatif COVID-19.

Menerusi satu kenyataan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menjelaskan sampel ayam ‘whole chicken’ daripada kilang berkenaan diambil untuk proses ujian pengesanan COVID-19 melalui kaedah Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Katanya, keputusan ujian yang diperoleh pada 9 Mei lalu menunjukkan kesemua sampel terbabit adalah negatif wabak COVID-19.

“Kilang berkenaan mendapat pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) sejak 2008, malah pemeriksaan daging ayam sentiasa dijalankan pegawai pemeriksa daging bertujuan memastikan keselamatan dan kualiti ayam yang diproses di kilang terbabit terjamin.

“JPV juga ingin memaklumkan bahawa, melalui kajian saintifik oleh beberapa agensi dan institusi antarabangsa, antaranya University of Macau dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) Paris, sehingga kini membuktikan haiwan seperti lembu, kambing, babi dan ayam bukan penyebar COVID-19 kepada manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, JPV turut memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 7 April lalu yang menyatakan bahawa keberangkalian untuk manusia mendapat COVID-19 daripada makanan atau bungkusan makanan adalah sangat rendah, memandangkan virus terbabit tidak dapat membiak dalam makanan.

Selain itu, artikel terbitan University of Georgia, Amerika Syarikat (AS) pada 23 Mac lalu menegaskan bahawa penularan jangkitan COVID-19 tidak mempunyai kaitan dengan produk ternakan.

“Kajian yang diterbitkan melalui beberapa jurnal antarabangsa menunjukkan penyebab kepada penyakit COVID-19 oleh virus SARS-Cov-2 adalah daripada kumpulan betacoronavirus.

“Manakala kumpulan gammacoronavirus ada pada spesies unggas seperti ayam. Virus betacoronavirus tidak boleh menjangkiti spesis unggas kerana mempunyai reseptor berbeza.

“Oleh itu, JPV menasihatkan masyarakat supaya tidak khuatir untuk memakan daging ayam,” katanya.

Loading...
Terkini