comscore
Tumpuan :
Nasional

“ …ayah dah nak pergi” – Anak kongsi kata-kata terakhir pemandu teksi mati

KUALA TERENGGANU:  Anak bongsu pemandu teksi yang maut ditikam penumpang dalam kejadian berdekatan Klinik Seberang Takir di sini, semalam tidak menyangka kata-kata terakhir si ayah umpama pesanan kepada dirinya.

Kata Eliy Shazwani, 16, menjadi rutin harian bapanya Mohd Latif Idris, 51, menghantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam setiap hari.

Namun selepas mengambilnya pulang dari sekolah pada petang semalam, ayahnya tiba-tiba berkata “Adik tunggu…ayah dah nak pergi dah’, ujar remaja itu.

“Ketika itu, memang tak syak apa-apa tetapi bila kejadian ini berlaku ia, ia macam pesanan kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Azlina Ramli, 41, berkata, suaminya ada membuat panggilan telefon kira-kira jam 8 malam memaklumkan dia dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, pada hari kejadian, suaminya keluar dari rumah kira-kira jam 9 pagi dan pulang pada jam 1 petang untuk mengambil anak bongsu di sekolah.

Gambar Mohd Latif bersama isteri dan dua anaknya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu. – Foto NSTP

“Arwah kemudian keluar semula kira-kira jam 2.30 petang untuk menghantar barang dan dia ada menghubungi saya pada jam 8 malam memaklumkan dia dalam perjalanan pulang.

“Ketika itu, saya tidak bertanya dia berada di mana dan hanya mengetahui kejadian itu selepas ia tular di Facebook dan WhatsApp sebelum bergegas ke lokasi kira-kira 11.15 malam.

“Memang terkejut sebab kejadian berlaku tiba-tiba dan saya harap pelakunya dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pemandu teksi itu ditemui mati berlumuran darah dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir.

Mayat mangsa ditemui di tempat duduk belakang di dalam sebuah teksi.

Susulan kejadian itu, polis menahan suspek yang berusia 29 tahun.

Loading...
Terkini