MELAKA: Seorang bapa tidak dapat menyembunyikan rasa bersalah selepas motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sempang Bekoh – Asahan di Jasin, 9 November lalu sehingga mengakibatkan kaki kiri anak perempuan tunggalnya terpaksa dipotong.
Menerusi video tular berdurasi 53 saat yang dikongsikan Muhd Muaz Aiman Maslan, 30, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) membuat pusingan U di garisan berkembar dan melanggar motosikal Yamaha 135LC ditunggangi bersama anaknya, Annasya Miqaila.
Menurutnya, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batu 4, Batu Berendam selepas tidak jadi berkhemah dan mandi-manda di Laman Tiga Budaya, Asahan disebabkan hujan.
Katanya, dia tercampak jauh dari motosikal dan patah kaki kiri sementara anaknya yang masih berada dekat motosikal diberi bantuan dan diangkat oleh orang ramai.
“…tak sangka dalam keseronokan diakhiri dengan kedukaan…ayah minta maaf Manja, tak dapat jaga keselamatan anak ayah…ayah bawa moto betul pun tetap kena juga. Ayah bersalah sangat dengan manja, ayah tak akan maafkan orang yang langgar kita.
“Luluh hati aku tengok dari jauh kaki anak terkulai dan tanpa fikir panjang aku seret kaki kiri yang patah untuk pergi dekat sambil memanggil namanya untuk kejutkan dia dari pengsan.
“Kami dikejarkan ke hospital dan aku berdoa supaya semuanya berjalan lancar dan dapat selamatkan kaki dia, tapi Allah beri ujian yang lebih berat.
“…Aku menyesal, aku salahkan diri aku, aku termenung memikirkan masa depan anak yang baru berusia 6 tahun tapi dah kehilangan kaki. Cacat seumur hidup semua disebabkan kecuaian orang lain,” ujarnya.
Adiknya, Munir Arif,25, berkata, abangnya yang juga pekerja kilang dibenarkan keluar dari Hospital Melaka Jumaat lalu selepas menjalani pembedahan bagi memasukkan besi pada kaki kiri.
Katanya, dia diberitahu oleh abangnya menerusi kumpulan WhatsApp keluarga bahawa Annasya atau mesra disapa ‘Manja’ turut menjalani pembedahan memasukkan besi pada kaki kiri tetapi terpaksa dipotong hingga paras keting disebabkan tisunya sudah mati.
“Semalam, doktor pakar beritahu Manja kena rujuk psikologi sebab ada trauma yang agak teruk dan diberi ubat sebelah malam supaya dia boleh rehat dan tidur bagi mengelak ia mengganggu proses penyembuhannya.
“Doktor pakar juga beritahu masa pembedahan tidak banyak darah keluar kerana patah teruk dan masih ada tisu yang rosak yang perlu dicuci,” katanya yang turut merayu orang ramai mendoakan kesembuhan buat abang dan anak saudaranya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, dua beranak terbabit dalam perjalanan dari Asahan menghala Sempang Bekoh, manakala SUV Toyota Harrier dipandu pekebun berusia 41 tahun dari arah bertentangan.
“Siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV terbabit dari arah Sempang Bekoh menghala Asahan membuat pusingan U secara mengejut hingga mengakibatkan motosikal di laluan utama tidak dapat mengelak dan berlaku kemalangan.
“Penunggang dan pembonceng mengalami patah kaki kiri, namun pemandu SUV tidak cedera dan punca kemalangan disebabkan gagal mengawal kenderaan,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.