SEPANG: “Dua minggu lalu ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat beli belah di Kota Warisan, ayah memberikan saya dua keping gambar yang sama dan menyuruh saya simpan sebagai kenangan,” kata Muhammad Sharul Izuan Sharipuddin.
Sharul Izuan, 16, adalah anak mangsa pemandu kereta e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53, yang maut dilanggar pesawat ringan yang terhempas di Persiaran Elmina, Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina semalam.
Menurutnya, ketika ayahnya memberikan gambar itu, ibunya, Suriana Muda, 43, dan adik bongsu, Nur Izzara Arissya, 9, ada bersama dalam kereta dan dia tidak menyangka perkara itu menjadi petanda ayahnya akan pergi meninggalkan mereka selama-lamanya.
“Petang semalam kira-kira jam 6 petang anggota peronda polis datang ke rumah memaklumkan ayah terlibat kemalangan dan berita itu amat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, hari ini.
Seramai 10 orang terkorban dalam nahas pada kira-kira jam 2.48 petang itu.
Artikel berkaitan :10 terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina
Lapan daripada mangsa adalah penumpang dan kru pesawat pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu manakala dua lagi mangsa adalah pemandu kereta e-hailing dan seorang rider penghantar makanan.
Tambah Sharul Izwan lagi, setengah jam sebelum kejadian itu, ayahnya ada menghubungi ibunya memaklumkan yang beliau sedang berehat di sebuah restoran di Elmina sementara menanti pelanggan.
Malah ayahnya juga berjanji akan pulang awal selepas selesai tugasan itu.
Sharul Izwan yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi memberi tahu, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di Arau, Perlis dan berpindah menyewa di taman itu sejak hujung tahun lalu.
“Pemergian ayah sangat mengejutkan kami sekeluarga kerana beliau seorang yang penyayang, namun kami redha dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.
Sharul Izwan berkata ayahnya berasal dari Perlis dan ketika ini ahli keluarga ayahnya dalam perjalanan ke sini untuk memberi penghormatan terakhir.
Katanya, selepas selesai proses hospital, jenazah akan dibawa ke masjid dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sultan Hishamuddin Bandar Baru Salak Tinggi.
Artikel berkaitan : Mayat 10 mangsa tiba di Jabatan Forensik HTAR