Tumpuan :
Nasional

Awas! Sindiket penipuan pekerjaan guna taktik baharu ‘pancing’ mangsa

 

Foto hiasan

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Sindiket penipuan pekerjaan semakin berleluasa sejak Julai lalu dengan modus operandi diubah bagi mengaburi mata mangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima pelbagai aduan dan setakat ini terdapat kira-kira 20 mangsa penipuan sindiket pekerjaan yang dipercayai masih terperangkap
di Myanmar.

Menurut Datuk Hishamuddin, kekurangan kempen serta pendedahan untuk mengekang isu terbabit daripada pihak berkepentingan mungkin menjadikan sindiket terbabit kembali aktif.

“Modus operandi terkini bukan lagi memberi tawaran kerja di negara-negara yang berisiko seperti Kemboja, Laos dan Myanmar. Tawaran kerja adalah membabitkan negara-negara yang kurang mendapat perhatian seperti Filipina dan Dubai.

“Ia adalah taktik baharu sindiket. Bila mangsa tiba ke negara itu, sindiket akan menggunakan helah untuk kononnya mangsa perlu lakukan latihan di Myanmar sebelum melakukan kerja.” Jelas Datuk Hishamuddin ketika dihubungi Buletin TV3.

Sebagai usaha mengekang sindiket terbabit untuk terus berleluasa, Datuk Hishamuddin mencadangkan agar kerajaan dengan kerjasama pihak media dan Badan Bukan Kerajaan, (NGO), bekerjasama melaksanakan kempen serta pendidikan berkaitan sindiket terbabit.

Selain itu, beliau mencadangkan pemantauan lebih ketat terhadap pengisian yang dimuat naik di media sosial.

“Saya meminta kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia, (SKMM), untuk memantau laman-laman media sosial seperti Facebook yang digunakan sindiket untuk menawarkan iklan penipuan pekerjaan.

“Sebagai contoh di Thailand, kerajaannya memberi amaran kepada Facebook untuk memantau pengisian atau maklumat yang dimuat naik yang dikesan terdapat unsur penipuan.

“Kerajaan Thailand turut mengambil tindakan terhadap Facebook sekiranya gagal mengekang pengisian terbabit.

“Malaysia perlu mengikut jejak langkah Thailand untuk mengenakan tindakan keras terhadap mana-mana laman media sosial yang gagal menyekat pengisian yang berunsurkan penipuan,” jelasnya lagi.

Rakyat Malaysia juga perlu cakna serta melakukan kajian sebelum menerima sebarang tawaran kerja di luar negara agar tidak terperangkap dengan sindiket seterusnya menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Loading...
Terkini