KUALA LUMPUR: Amaran kepada perokok di luar sana. Pegawai Penguatkuasa KKM mungkin sedang memerhatikan anda.
Baru-baru ini tular di media sosial TikTok, video seorang lelaki disaman kerana merokok di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) oleh lelaki berpakaian biasa yang dipercayai Pegawai Kesihatan KKM.
Lelaki tersebut merokok di luar bangunan, bersebelahan tanda “Dilarang Merokok”.
Video tular itu dimuat naik oleh pengguna TikTok @hanif_zubair.
Rata-rata netizen memuji usaha KKM dalam menangani masalah merokok di tempat awam.
Ramai juga yang memberi komen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perokok yang semakin mengabaikan larangan merokok terutama sekali di kedai makan.
Pengguna media sosial LiveWithPurpose berharap pihak berkuasa akan terus melakukan operasi penyamaran yang sama di kebanyakan restoran bagi menahan perokok yang degil.
“Setiap kali saya nak makan dengan tenang, mesti akan ada asap dari rokok dan ia sangat menganggu saya.”
Seorang lagi pengguna media sosial, Jia Hui berharap, kementerian akan melakukan rondaan di kopitiam sekitar Pulau Pinang.
“Kebanyakan pakcik di sini suka merokok terutama sekali ketika waktu hujan dan asap rokok itu akan berkumpul di bawah atap kedai.”
Sementara itu, LiaEliana memuji usaha kementerian dan mengatakan bahawa perokok langsung tidak memikirkan perasaan orang sekeliling.
“Mereka akan merokok di hadapan bayi kecil tanpa rasa bersalah,” katanya.