comscore
Tumpuan :
Nasional

Awas! JPJ laksana Ops Bersepadu Bas Persiaran mulai esok

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mulai 6 pagi esok, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi bersepadu terhadap bas persiaran di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, operasi itu dilaksanakan susulan kemalangan maut di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu yang mengorbankan dua nyawa manakala 13 penumpang cedera.

“Kita akan melaksanakan tindakan keras terhadap semua bas pelancongan mulai esok. Semua bas pelancong di kawasan di mana ada sekatan jalan raya akan diperiksa,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan semua pengendali bas persiaran untuk mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

“Saya sudah sangat baik, saya memberi anda notis (pemberitahuan Ops). Kalau saya mahu nakal sikit, saya tak bagi notis.

“Bermula jam 6 pagi, akan ada Ops Bersepadu, ini akan berlarutan selama beberapa minggu,” katanya.

Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi, bas persiaran yang membawa 21 penumpang, terbalik dan meragut dua nyawa pelancong warga China, selepas terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di kawasan selekoh KM16.6 Jalan Genting Highlands.

Bas berkenaan membawa 18 pelancong warga China, seorang pemandu pelancong dan dua pemandu sedang dalam perjalanan dari arah Genting Highlands turun ke bawah.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Terdahulu, Anthony mendedahkan permit bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan itu telah tamat tempoh pada 16 Februari lalu dan had usia bas berkenaan juga telah melebihi 15 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini