Oleh Safwan Sawi
PAPAR: Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beboni, Papar petang tadi.
Allahyarham disemadikan bersebelahan dengan pusara ibunya Dayang Fatinah Awang Ampuan Jair.
Majlis pengebumian selesai kira-kira jam 5.17 petang dan dilakukan dengan istiadat penghormatan APM.
Jenazah sebelum itu diberi penghormatan terakhir ahli keluarga, anggota APM, sahabat, dan penduduk kampung di kediaman Allahyarham di Kampung Benoni, Papar sebelum solat jenazah yang dilaksanakan di Masjid Jamek As-Salam, Kg. Benoni, Papar.
Terdahulu jenazah selamat tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 2.15 petang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.32 pagi menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 2646).
Ketibaan jenazah di KKIA disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, Datuk Ghulam Khaidar Khan Bahadar dan Datuk Seri Anifah Aman.
Jenazah sebelum itu telah tiba di Lapangan KLIA dari Kathmandu, Nepal pada pukul 7.15 pagi menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MH115).
Menurut Armizan sepanjang proses bawa balik jenazah sehingga proses pengebumian Allahyarham hari ini berjalan lancar dan proses seterusnya akan membantu kebajikan keluarga Allahyarham.
“Dari segi pencen dan sebagainya begitu juga insurans arwah ke ekspedisi ini ada melalui insurans untuk memudahkan urusan tersebut supaya keluarga dapat pampasan itu dengan segera,
“Begitu juga kita berusaha mendapatkan bantuan dari yayasan tertentu telah menyatakan hasrat mereka maka APM akan berusaha membantu kebajikan waris keluarga arwah,” katanya.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian ketika ditemui di Masjid Jamek As-Salam, Kg. Benoni, Papar.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Siti Hafizah Abdul Hamid, 31, bersama enam anak berusia antara dua hingga 12 tahun.