Tumpuan :
Nasional

‘Awal tahun kemarau, tengah tahun serangan ulat, akhir tahun banjir dan penyakit hawar’

Siti Zubaidah melihat kebun jagung miliknya yang musnah akibat banjir baru-baru ini di Kampung Jelutar Temalir. – FOTO: NSTP

KUALA KRAI: Petani jagung di Kampung Jelutar Temalir, di sini, terpaksa menanggung kerugian selepas tanaman diusahakan mereka itu musnah akibat banjir, baru-baru ini.

Seorang pengusaha tanaman terbabit, Siti Zubaidah Che Mahmud, 39, berkata, hujan lebat pada 27 November lalu menyebabkan paras air Sungai Temalir meningkat secara mendadak sehingga melimpah.

Susulan itu, katanya, kebun jagung beliau seluas 0.8 hektar yang terletak berhampiran pinggir sungai berkenaan ditenggelami banjir lebih dua meter.

Justeru, beliau berkata, jagung yang mula ditanam pada akhir September lalu tidak dapat dituai mengikut jadual sehingga menyebabkannya mengalami kerugian sekitar RM3,000.

“Saya tidak menjangka gelombang pertama banjir, baru-baru ini, seakan-akan bah kuning pada 2014, sekali gus berputih mata apabila semua tanaman jagung musnah sekelip mata.

“Selepas banjir surut, saya sedih melihat semua pokok jagung menjadi kering dan mati. Bukan saya sahaja yang tidak sempat mengutip hasil tani itu, malah pengusaha tanaman jagung yang lain di sini turut mengalami nasib sama,” katanya ketika ditemui di kebun jagung beliau di Kampung Jelutar Temalir.

Beliau memaklumkan, ia juga bukan kali pertama kawasan kebun yang diusahakan sejak lebih lima tahun lalu itu ditenggelami banjir.

“Namun, saya reda kerana pokok ini mati akibat bencana alam dan menganggap apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT,” katanya.

Sebagai petani, Siti Zubaidah berkata, beliau terpaksa berdepan risiko kerugian akibat bencana alam mahupun penyakit atau serangan ulat pada tanaman.

“Pada awal tahun, tanaman berdepan musim kemarau, diikuti serangan ulat pada pertengahan tahun, manakala akhir tahun pula banjir dan penyakit hawar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan melakukan penanaman semula pada Februari atau Mac depan sebaik saja musim tengkujuh berakhir.

“Tempoh matang pokok jagung adalah selama dua bulan sepuluh hari sebelum ia boleh dipetik dan dijual.

“Bagaimanapun, saya memerlukan modal untuk memulakan semula penanaman. Kebiasaannya, sebahagian hasil diperoleh daripada jualan jagung akan dibuat modal tetapi akibat kejadian ini, saya berharap ada bantuan disalur untuk meringankan beban ditanggung,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini