
Oleh: Selwam Arjunan
KUALA KEDAH: Seorang awak-awak warga Thailand yang terjatuh dalam laut di muara kuala Sungai Yan Kechil, Ahad lepas gagal ditemui selepas operasi carilamat selama tiga hari.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi ditamatkan jam 7.30 petang semalam setelah tiada petunjuk baharu dikesan sepanjang operasi mencari kru menaiki Vesel Nelayan Tempatan (VNT) itu.
Terdahulu katanya, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC Langkawi) telah menerima panggilan telefon melalui talian kecemasan 999 daripada pengadu menyatakan mangsa, warga Thailand telah jatuh ke laut pada Jam 11 malam di kedudukan 21.1 batu nautika barat daya muara kuala Sungai Yan Kechil.
“Susulan itu, operasi carilamat telah diaktifkan pada jam 3.15 petang Isnin lalu.
“Bot ronda Perkasa 1226 dan bot Penggalang 40 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi sejurus operasi diaktifkan dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).
“Bagaimanapun operasi ditamatkan jam 7.30 petang semalam selepas tidak menemui sebarang petunjuk baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar memastikan kesihatan diri dalam keadaan yang baik selain mengambil langkah-langkah keselamatan.
Ia termasuk memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).
Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 untuk tindakan segera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.