comscore
Tumpuan :
Nasional

Atom Malaysia pantau peningkatan aras keradioaktifan air laut

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom, Ibrahim Muhamad.

Oleh : Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dengan kerjasama Kesatuan Eropah telah melakukan pemasangan Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS).

Ia adalah untuk memantau sebarang peningkatan aras keradioaktifan secara “real-time” di perairan negara sebagai pengesanan amaran awal.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom, Ibrahim Muhamad dalam satu kenyataan kepada Buletin TV3 berkata, melalui data yang diperoleh dari stesen itu di Pusat Pengurusan Tindakbalas Nuklear Kebangsaan (NCNRM) tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara di kesan pada ketika ini.

“Dalam hal ini, Atom Malaysia mengambil pendirian yang sama dengan dapatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kerana pelepasan air terawat ke laut adalah terkawal,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelepasan air terawat ke laut dilakukan secara berperingkat dan mempunyai kesan radiologi yang boleh diabaikan kepada manusia dan alam sekitar.

Jelasnya lagi, IAEA membuat kesimpulan bahawa pendekatan dan aktiviti melepaskan air yang dirawat Advanced Liquid Processing Systems (ALPS) adalah konsisten dengan piawaian keselamatan antarabangsa yang berkaitan.

Sebelum ini, Jepun turut memberi jaminan akan memantau tahap radioaktiviti di laut dan persekitaran bersama IAEA susulan tindakannya menyalurkan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daaiichi ke laut pada tengah hari tadi waktu Malaysia.

Setiausaha Pertama kedutaan Jepun di Malaysia, Yosuke Kurotani berkata dengan penglibatan berterusan IAEA dari sudut pandangan bebas, Jepun dan Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) terus komited untuk memastikan pengaliran yang selamat.

“Selepas bermulanya pelepasan ke laut, Jepun akan terus menjalankan tiga jenis pemantauan iaitu pemantauan air terawat dalam tangki, pemantauan secara langsung, dan pemantauan kawasan laut.”

“Jika berlaku sebarang kejadian, seperti tahap radioaktiviti melebihi piawaian, langkah yang sewajarnya termasuk menghentikan pengaliran atau menangguhkan operasi akan diambil,” katanya.

Kurotani memberi jaminan bahawa hasil pemantauan oleh kerajaan Jepun dan TEPCO akan diumumkan kepada masyarakat tempatan dan komuniti global.

Kurotani ditanya mengenai persiapan Jepun untuk mengalirkan lebih 1.33 juta meter padu air terawat yang telah terkumpul di tapak itu sejak bencana nuklear pada 2011 berikutan kejadian gempa bumi dan tsunami Tohoku.

Kurotani menekankan keputusan pelepasan air terawat berkenaan dibuat berdasarkan proses pengesahan teknikal, serta memantau keadaan cuaca dan laut semasa pembuangan air sisa.

Komuniti global boleh menyemak dan mengikuti kemas kini terkini mengenai peristiwa bersejarah ini melalui laman sesawang rasmi TEPSO, https://www.tepco.co.jp/en/decommission/progress/watertreatment/index-e.html.

Media antarabangsa melaporkan bahawa kerajaan Jepun telah menyatakan bahawa pelepasan sisa air ini adalah langkah yang perlu untuk penyahtauliahan loji kuasa itu, yang terletak di pantai timur negara itu, kira-kira 220km (137 batu) di timur laut ibu negara Tokyo.

Jepun telah mengumpul dan menyimpan air tercemar dalam tangki selama lebih dari satu dekad, tetapi ruang semakin berkurangan, menurut laporan.

Korea Selatan dan China antara negara yang menyuarakan bantahan mereka terhadap langkah Jepun itu kerana dikhuatiri ia boleh membawa akibat negatif untuk jangka masa panjang.

Loading...
Terkini