KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia sekiranya diminta kerajaan untuk melaksanakan tugasan termasuk pembenihan awan susulan cuaca panas pada masa ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini pihak ATM belum menerima permintaan untuk perkara berkenaan.
“Itu semua bergantung kepada permintaan oleh kerajaan. Jika ada arahan, seperti biasa angkatan tentera dan Kementerian Pertahanan kita bersedia untuk menjalankan apa-apa tugasan yang diberikan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ATM menggerakkan aset termasuk pesawat atau menerima permintaan untuk lakukan pembenihan awan susulan cuaca panas dan ketiadaan hujan akibat fenomena El Nino kali ini.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, sebelum melakukan pembenihan awan pihaknya akan mengambil kira beberapa faktor dan keperluan bagi memastikan proses berkenaan berhasil memandangkan ia menelan kos yang agak tinggi dan tidak berlaku pembaziran.
Nik Nazmi dilaporkan berkata, setakat ini juga belum ada negeri yang membuat permohonan untuk melakukan proses itu susulan cuaca panas dan kering melampau.
Katanya, NRES memantau rapi paras air di empangan di setiap negeri untuk melihat sekiranya pembenihan awan perlu dilakukan.
Nik Nazmi berkata, dua negeri yang merekodkan cuaca paling panas iaitu Pokok Sena di Kedah dan Perlis juga belum membuat sebarang permohonan bagi melakukan proses pembenihan awan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.