Tumpuan :
Nasional

ATM sedang siasat isu kematian pelatih PALAPES didakwa didera

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Rusyaidi Hafiz Syahid

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan mengenai kes dakwaan seorang bapa terhadap kematian anaknya ketika melaksanakan sesi Latihan seliaan jurulatih tentera di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

ATM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kes berkenaan kini dalam siasatan Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“ATM mengesahkan bahawa kes tersebut kini sedang dalam siasatan oleh Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat di dalam kes tersebut.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” katanya.

Dalam kenyataan sama, ATM turut menggesa masyarakat untuk memberi ruang kepada ATM untuk menyiasat perkara berkenaan secara tuntas bagi menegakkan keadilan kepada pihak yang teraniaya.

Katanya, masyarakat diseru untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan yang dilaksanakan.

Pihak ATM akan memaklumkan perkembangan hasil siasatan dari semasa ke semasa.

Media hari ini melaporkan seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) sebuah IPTA meninggal dunia pada 13 November lalu, selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.

Bapa pelatih terbabit juga mendakwa kejadian itu melibatkan penderaan secara fizikal.

Dalam laporan kepada polis, bapa mangsa berkata anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini