Tumpuan :
Nasional

ATM sahkan 6 anggota MALBATT 850 cedera terkena serpihan letupan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan insiden 5 anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang baru tiba di Selatan Lubnan cedera akibat terkena letupan manakala seorang anggota MALBATT 850-11 turut tercedera.

ATM dalam satu kenyataan berkata insiden letupan itu berlaku pada 7 November jam 7.54 malam bersamaan 1.54 tengah hari waktu Lubnan.

Katanya letupan itu berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.

“Letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota MALBATT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota melibatkan MALBATT 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang juga mengalami cedera ringan.

“Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11,” katanya.

Dalam kenyataan sama, ATM berkata akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa.

Tambahnya, ATM komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini