Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan usaha mengesan seorang anggota tentera yang hilang selepas dihanyutkan arus deras sungai semasa melakukan rondaan dalam operasi di Banding, dekat Gerik.
Dalam satu kenyataan, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan usaha mengesan mangsa, Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi dijalankan tujuh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada lima pegawai dan 112 anggota.
Usaha pencarian dilakukan bermula di tempat kejadian di Sungai Merah menyusuri sepanjang Sungai Perak.
“TDM pada Sabtu menerima laporan sembilan anggota dipercayai telah dibawa arus dalam kejadian kepala air semasa melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6 2024 di Banding, Perak.”
“Kejadian pada 30 November sekitar jam lapan pagi itu mengakibatkan dua anggota iaitu Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin dan Lans Koperal Ahmad Zulhilmi hilang, manakala tujuh lagi anggota ditemukan selamat,” katanya.
Usaha pencarian digerakkan segera menggunakan bot, jalan kaki dan tinjauan udara dengan mengaturgerak tiga pasukan Tindak Balas Pantas iaitu Rejimen ke-2 Renjer Diraja (RRD), Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Hasil pencarian menemukan Lans Koperal Mohd Afandi di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup dan disahkan telah meninggal dunia.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat sebelum diterbangkan pulang ke kampung halamannya di Matu, Sarawak.
Usaha mengesan Lans Koperal Ahmad Zulhilmi, yang berasal dari Sungai Petani pula masih diteruskan.
“Takziah buat keluarga Allahyarham. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang beriman.”
“Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan agar anggota yang masih hilang, Lans Koperal Ahmad Zuhilmi akan segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Untuk rekod, operasi KOTA, ECHO, FOXTROT adalah satu operasi pengawasan dan pemantauan keselamatan sempadan yang dijalankan di kawasan Banding Perak, melibatkan penguatkuasaan sempadan negara oleh pasukan keselamatan.
Operasi ni merupakan sebahagian daripada usaha berterusan oleh pihak berkuasa untuk memastkan ketenteraman awam, mencegah ancaman keselamatan dan membendung aktiviti jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.