Tumpuan :
Nasional

Atasi Masalah Air Di Perlis: Kerajaan Negeri Salur Peruntukan RM1.5 Juta Kepada SAP

KANGAR: Kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) bagi mengatasi masalah gangguan air di negeri ini.

Exco Kemudahan dan Prasarana Awam Hamizan Hassan berkata peruntukan itu disalurkan bagi membantu SAP mengatasi masalah gangguan air terutamanya untuk membaiki paip air yang bocor dengan segera dan untuk persediaan pembelian tangki statik.

“Kerajaan negeri melalui SAP sentiasa bersiap siaga dan mengambil tindakan pantas bagi membantu penduduk yang terkesan akibat gangguan bekalan air,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azam Karap (PKR-Kuala Perlis) mengenai usaha kerajaan negeri dalam menangani masalah gangguan bekalan air.

Hamizan (BN-Kayang) berkata bagi mengurangkan beban yang terpaksa dihadapi oleh pengguna akibat gangguan bekalan air, kerja-kerja pembaikan kebocoran paip air utama yang memerlukan penutupan bekalan air sepenuhnya dilaksanakan di luar waktu puncak.

Katanya selain itu, SAP turut menyediakan penghantaran bekalan air melalui lori tangki ke tempat yang terkesan.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi SAP juga membuat penghantaran dan penyediaan tangki statik di tempat yang sesuai mengikut keperluan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air.

“Sehingga kini, pihak SAP menguruskan 10 unit tangki statik termasuk lori tangki bagi kerja pengisian bekalan air pada tangki-tangki statik berkenaan,”katanya. -BERNAMA

Loading...
Terkini