![](https://media.buletintv3.my/2025/02/SARAWAK.jpg)
Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Kelunturan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap parti politik menjadi antara cabaran yang perlu diatasi jika sesebuah parti terbabit mahu terus kekal relevan.
Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi mengekalkan kepercayaan itu, generasi penyambung serta pemimpin muda dalam parti perlu kenal dan memahami budaya parti yang diamal sejak zaman penubuhan perti berkenaan.
Beliau berkata, kestabilan politik yang diwujudkan dalam sesebuah parti dan kerajaan merupakan elemen utama untuk negara melangkah peringkat demi peringkat ke arah kemajuan.
“Pimpinan yang relevan setiap masa tetapi berubah mengikut keadaan yang sudah berubah dan tidak boleh terkongkong kepada Sarawak sahaja ataupun politik negara, tetapi mahu tak mahu kita mengambil kira apa yang berlaku di negara Asean umpamanya sebagai langkah pertama.
“Apabila kita dapat bersama dengan satu blok di kawasan ini, jadi ia dapat memain peranan kepada kestabilan perubahan di seluruh negara dan juga kemungkinan peringkat dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama Presiden pada Perhimpunan Agong PBB di Kuching, hari ini.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, kepimpinan baharu yang dilahirkan perlu mempunyai kualiti untuk berubah mengikut keperluan semasa tanpa mengabaikan kepentingan negara.
Jelasnya, perubahan teknologi masa kini seperti kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) berupaya dimanipulasi dan dijadikan propaganda untuk kepentingan sesebuah pihak.
Justeru adalah penting untuk barisan kepimpinan baharu dalam parti ini untuk memiliki keupayaan memahami, seterusnya memanfaatkan kelebihan teknologi itu tanpa mengabaikan tradisi dan budaya dalam parti berkenaaan.
Kualiti itu tegasnya secara tidak langsung dapat membantu menangani dinamik cabaran kelunturan kepercayaan terhadap parti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.