Tumpuan :
Nasional

Asyraf Wajdi dilantik Pengerusi MARA

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu. – FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, beliau sendiri sudah menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang dilaksanakan di pejabat kementerian itu, kelmarin.

“(Asyraf Wajdi) dilantik bukan desas desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah watikahkannya pada hari Jumaat lalu,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diminta memberi komen berhubung gambar beliau sedang menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang tular di Twitter.

“Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih,” jelasnya.

Ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter semalam mengundang reaksi tidak senang rakyat yang mempertikaikan pelantikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

Jawatan Pengerusi MARA sebelum ini disandang Datuk Azizah Mohd Dun.

Semalam, Asyraf Wajdi dilihat memuat naik resume beliau di Facebook dan memaklumkan beliau kini sedang mencari kerja.

Sebelum ini, beliau menarik perhatian apabila tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan kali ini.

Loading...
Terkini