Tumpuan :
Nasional

Astro Audio rehatkan 3 penyampai radio cetus kontroversi

Astro Audio merehatkan tiga penyampai radio mereka, Nabil, Azad dan Radin susulan kontroversi yang dicetuskan.

KUALA LUMPUR: Astro Audio merehatkan tiga penyampai radio mereka, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin susulan kontroversi dicetuskan yang didakwa mempersenda upacara agama Hindu.

Astro Audio dalam satu kenyataan menyebut, penggantungan ketiga-tiga penyampai radio terbabit dibuat sehingga siasatan selesai.

“Kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” menurut kenyataan itu.

Melalui kenyataan sama, Astro Audio memberitahu, pihaknya komited terhadap kepercayaan pendengar dan memastikan persekitaran media dihormati.

“Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.

“Kami amat menghargai maklum balas daripada pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar dan memperbaiki diri,” jelasnya.

Sementara itu, Astro Audio menyatakan kekesalan dengan insiden yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pihak.

Hari ini tular di media sosial, penyampai radio di sebuah stesen milik Astro dilihat seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

Tiga penyampai radio terbabit kemudian membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.

Susulan itu, Kementerian Komunikasi dilapor mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini