comscore
Tumpuan :
Nasional

Astana buat laporan polis berhubung penularan berita palsu status kesihatan Tun Abdul Taib Mahmud

 

Peter Sibon tiba di Balai Polis Gita untuk membuat laporan polis berhubung berita palsu yang tersebar luas di beberapa sosial media semalam

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Satu laporan polis dibuat oleh Pihak Astana Negeri Sarawak berhubung hantaran berita palsu di media sosial dan aplikasi whatsapp menyentuh perihal status kesihatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Laporan polis terbabit dibuat Setiausaha Akhbar kepada Yang di-Pertua Negeri, Peter Sibon di Balai Polis Gita, di sini, pagi tadi.

Ditemui selepas membuat laporan tersebut, Peter berkata beliau telah menerima maklumat mengenai satu hantaran whatsapp mengenai perkara terbabit daripada rakan setugasnya.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud

“Hantaran whatsapp terbabit berbunyi `Informatian just received. The white hair of Sarawak is under induced coma in Sarawak general hospital. Expect a public holiday soon’ (Maklumat baru diterima. Rambut putih Sarawak telah ditidurkan. Jangkakan cuti umum dalam masa terdekat).

“Hantaran yang diterima pada 21 Jun 2023, jam 8.15 malam itu telah berlegar-legar di media sosial dan saya telah dihubungi oleh pihak media bagi mengesahkan kesahihan berita terbabit termasuk status sebenar keadaan kesihatan Tun Abdul Taib”, katanya.

Terdahulu Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri, Junih Salleh Ahmad telah membuat kenyataan media pada 22 Jun 2023 jam 6.21 petang menjelaskan status sebenar kesihatan Tun Taib sekaligus menghentikan penularan berita palsu terbabit.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Loading...
Terkini