comscore
Tumpuan :
Nasional

Asri Hamidon ketuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidon akan mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan (BBP) berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN, di sini hari ini.

“Saya ingin mengumumkan di sini, kerajaan telah bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi BBP yang akan diketuai oleh Datuk Seri Asri Hamidon berkuat kuasa hari ini.

“Selain daripada itu, rasionalisasi yang melibatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Kerajaan (GIC) dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) akan diteruskan oleh pasukan pantau MADANI di Kementerian Kewangan,” katanya.

Tambahnya, strategi itu termasuk dalam Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam iaitu ‘Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta’.

Menurut Tan Sri Shamsul Azri, sinergi awam dan swasta berupaya mencipta nilai sosial bukan sahaja melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan penawaran inovasi berimpak tinggi, tetapi menerusi penggabungan kepakaran dan akses kepada sumber modal baharu.

Pada 3 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi BBP bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sekretariat itu akan bertugas serta-merta dalam usaha kerajaan melaksanakan ‘reform’ atau pembaharuan membabitkan perkhidmatan awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini