KOTA BHARU: Seramai 303 murid dan pelajar tinggal di Thailand yang menggunakan pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang diberi empat pilihan susulan pelaksanaan larangan rentas sempadan bermula 1 Disember ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata empat pendekatan berkenaan adalah pelajar disarankan tinggal di asrama dan pendekatan kedua bagi sekolah yang tiada asrama atau asrama sudah penuh, mereka akan ditempatkan di asrama sekolah lain yang berdekatan.
Katanya, selain itu, pelajar juga disaran menyewa rumah di sekitar sekolah, manakala pendekatan ketiga menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
“Berdasarkan maklumat Majlis Keselamatan Negara (MKN), terdapat 303 pelajar yang menggunakan pangkalan haram setiap hari disebabkan mereka tinggal di Golok.
“Daripada jumlah itu, 221 adalah pelajar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan 82 pelajar dari Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Empat pendekatan yang diambil ini diputuskan menerusi mesyuarat MKN yang berlangsung semalam dan urusan pelajar terbabit akan diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember ini dan tangkapan akan dibuat adalah terpakai untuk semua termasuk pelajar.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak, dilaporkan berkata terdapat mekanisme bagi pelajar yang menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah.
Katanya, kesemua individu termasuk pelajar perlu menggunakan tiga pintu masuk yang sah di Kelantan.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, pendekatan yang diambil itu adalah bertepatan kerana keadaan murid dan pelajar yang menggunakan pangkalan haram adalah bahaya.
“Kita lihat mereka naik bot tanpa jaket keselamatan, pengemudi bot pun sudah berusia dengan menarik tali bagi menggerakkan bot berkenaan.
“Keadaan mereka sangat bahaya. Sekiranya mereka tidak mahu tinggal di asrama atau pendekatan lain, maka mereka perlu melalui ICQS,” katanya.
Beliau berkata, menerusi mesyuarat semalam juga Jabatan Imigresen Malaysia bersedia untuk membuka pintu sempadan jam 6 pagi.
Katanya yang beliau dimaklumkan pihak Thailand juga bersetuju untuk membuka pintu sempadan lebih awal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.