Tumpuan :
Nasional

Asrama maahad tahfiz musnah dalam kebakaran

Anggota bomba memadam kebakaran sebuah asrama di Maahad Tahfiz An Nur di Merbok, awal pag hari ini. FOTO: Ihsan Bomba

SUNGAI PETANI: Sebuah asrama di Maahad Tahfiz An Nur di Merbok, dekat sini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Difahamkan, asrama itu menempatkan pelajar perempuan, namun mereka berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 4.19 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari BBP Sungai Petani diketuai Pegawai Bomba Kanan Mohd Rahimi Abu Hassan tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Operasi turut dibantu sepasukan enam anggota dari BBP Aman Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bedong.

“Kebakaran menyebabkan bangunan itu musnah 80 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan berada dalam maahad tahfiz berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Ismail berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 4.49 pagi.

Beliau berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Al Busyra, Merbok, Firdaus Firabib yang memuat naik status di Facebook (FB) miliknya berkata, kesemua pelajar perempuan di maahad tahfiz itu sempat menyelamatkan diri dan kini berlindung dalam masjid dalam keadaan sehelai sepinggang.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi di maahad tahfiz yang terletak belakang rumahnya, namun bernasib baik apabila tidak mengenainya rumahnya itu.

Loading...
Terkini