KUALA BERANG: Pelajar lelaki Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, di sini sekali lagi berdepan detik cemas apabila asrama dihuni mereka terbakar awal pagi tadi.
Insiden berkenaan merupakan kali kedua berlaku selepas bangunan sama, namun tingkat berbeza terbakar pada 12 Mei lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zulhisham Mohamad Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada pihak asrama pada jam 1.57 pagi.
Sebaik menerima panggilan, beliau berkata sembilan anggota bomba dengan dua jentera digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan sebuah bilik asrama di tingkat empat yang terbakar 80 peratus. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 91.44 meter dan dua pancuran air tangki jentera,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Zulhisham kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa manakala punca dan kerugian sedang disiasat.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.