Tumpuan :
Nasional

Aspirasi rakyat panduan dasar negara, bukan tunduk pihak luar – PM

FOTO: PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Mana-mana negara harus bebas menentukan dasar yang terbaik demi kepentingan mereka tanpa mengikut telunjuk daripada pihak luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aspirasi rakyat adalah panduan utama dalam merangka dasar negara terutama dalam hubungan perdagangan dan ekonomi.

“Saya percaya Malaysia dan Peru berkongsi perspektif yang sama bahawa kita perlu kekal terbuka dan neutral. Dalam ASEAN, kami menyebutnya sebagai ‘centrality’ (berpusat).

“Walaupun Amerika Syarikat kekal sebagai pelabur utama kami, kami juga mempunyai perkongsian perdagangan yang kukuh dengan China dan kami bekerjasama dengan berkesan dalam pelbagai bidang.

“Itu adalah hala tuju masa depan. Kita tidak seharusnya tunduk kepada sesiapa, sebaliknya, kita mesti dibimbing oleh apa yang terbaik untuk negara kita seperti yang ditentukan oleh rakyat kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu meja bulat bersama kapten industri dari Malaysia dan Peru di sini.

Perdana Menteri berada di sini untuk lawatan rasmi sulungnya dan penyertaan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW).

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu kerjasama dengan negara-negara Selatan Global diperkukuh dengan memanfaatkan potensi dan peluang baharu yang besar serta belum diterokai di rantau ini.

Jelasnya, ia adalah penting kerana pada masa lalu, kerjasama ekonomi banyak bergantung kepada negara tertentu.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Perdana Menteri turut melancarkan Taman Solar Matarani Yinson Holdings Bhd di Peru.

Yinson Renewables telah menyelesaikan pemerolehan Projek Solar Matarani 97 MWp (megawatts-peak) di Peru daripada Grenergy Renewables, pengeluar tenaga bebas antarabangsa, pemaju dan syarikat kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan dengan rekod prestasi yang kukuh di Amerika Latin.

Projek tersebut terletak di padang pasir Mollendo di rantau Arequipa, salah satu kawasan penyinaran suria tertinggi di dunia.

Projek Matarani baru-baru ini memasuki operasi komersial dengan menyuntik kira-kira 260 GWj (Giga Watt Jam) tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid Peru setiap tahun, cukup untuk memenuhi keperluan tenaga kira-kira 62,000 isi rumah Peru dan menghalang pelepasan lebih daripada 56,000 tan karbon dioksida setahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini