Tumpuan :
Dunia Seni

Aspalela Abdullah meninggal dunia selepas terjatuh dalam bilik air

Allahyarham Aspalela Abdullah dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi tadi selepas terjatuh dalam bilik air.

KUALA LUMPUR: Penyanyi era 1960-an yang cukup dikenali dengan genre irama Melayu asli, Aspalela Abdullah, 79, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi tadi selepas terjatuh dalam bilik air.

Menurut sahabatnya yang juga penyanyi legenda, Datuk Yusni Hamid, dia menerima khabar duka itu selepas dihubungi anak arwah, pagi tadi.

“Arwah terjatuh dalam bilik, kemudiannya tidak sedarkan diri. Saya cuma dapat tahu selepas anaknya hubungi.

“Anaknya maklumkan arwah bangun dan pergi ke bilik air kemudian terjatuh. Anaknya kemudian hubungi ambulans dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Allahyarham Aspalela kemudian dimaklumkan menghembuskan nafas terakhir di HKL. Sekarang jenazah masih berada di hospital untuk proses seterusnya,” katanya kepada BH Online.

Ditanya keadaan kesihatan Allahyarham Aspalela ketika hayatnya, Yusni berkata, arwah mempunyai sakit lelah.

“Arwah memang ada sakit, ditambah dengan usianya yang sudah lanjut. Saya banyak kali hendak ziarah, tapi tak sempat.

“Saya dimaklumkan, arwah ada lelah. Jenazah masih di HKL dan akan dibawa ke masjid sekitar Taman Melati dan kemungkinan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran kediamannya.

“Anaknya memaklumkan pada saya mungkin jenazah akan dikebumikan lepas solat Asar,” katanya.

Berkongsi lanjut, Yusni berkata, arwah Aspalela popular dengan lagu Payung Mahkota dan Titian Kasih Ke Syurga itu sebelum ini aktif menjalankan aktiviti seperti marhaban dan bacaan Yassin bersama Kumpulan Artis Wanita Malaysia yang dipimpin olehnya.

“Kami akrab sebab kami menyertai kumpulan marhaban sama, tapi sudah lama kami tak berjumpa sebab arwah sakit,” katanya.

Selain penyanyi, arwah Aspalela juga bekas kerani bahagian analisis di Tenaga Nasional Berhad.

Allahyarham Aspalela menghasilkan lima album sepanjang kerjaya seninya.

Album Joget Cari Makan diterbitkan Omar Taib pada 1991 dianggap album cari makan. Ini kerana lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu sering dinyanyikan dalam setiap undangan persembahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini