comscore
Tumpuan :
Nasional

ASP, enam anggota ditahan kes pemerasan, cabul

KUALA LUMPUR: Pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan enam anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Cheras ditahan kerana terbabit kes pemerasan dan cabul, semalam.

Turut ditahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan kejadian yang didakwa berlaku di sebuah kondominium di Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 22 tahun pada 7 Oktober lalu mendakwa diperas ugut menyerahkan wang dan dicabul.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 1 Oktober lalu dan sebaik menerima laporan polis daripada mangsa, tiga lelaki tempatan ditahan sebelum direman tiga hari dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Susulan itu, kita menahan tujuh orang terdiri seorang pegawai berpangkat ASP dan enam anggota termasuk seorang anggota wanita semalam berusia 30 hingga 50an.

“Mereka direman tiga hari bermula hari ini hingga 14 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Rusdi berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam isu ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Setakat ini belum ada rampasan dilakukan dan kita sedang siasat dakwaan wang yang dibayar melalui pemindahan secara dalam talian,” katanya

Beliau berkata, pihak juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Laporan dibuat lewat jadi siasatan perlu dijalankan dengan teliti mengapa pengadu lapor lewat,” katanya.

Terdahulu, tular di aplikasi Telegram seorang wanita mendakwa menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di unit sebuah kondominium di Cheras.

Wanita terbabit didakwa diugut sekumpulan anggota polis yang meminta wang sebanyak RM150,000 sebelum dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemui dadah di dalam pemilikan mangsa.

Wanita terbabit bagaimanapun dibebaskan selepas dibantu seorang lelaki tempatan membuat pembayaran sebanyak RM10,000 dan perlu membuat bayaran semula secara berkala dengan kadar faedah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini