comscore
Tumpuan :
Nasional

Askar terbabit kes buli boleh dibuang kerja

Datuk Seri Mohamad Hasan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang hadir ke rumah terbuka aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia di dewan Perkasa, Wisma Perwira, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan tidak akan teragak-agak untuk membuang anggota tentera yang didapati melakukan perbuatan buli dalam kalangan mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan tegas itu menunggu mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan kerana jelas melanggar peraturan perkhidmatan.

“Jadi kita harap perkara sebegini elok dihentikan. Kita akan menasihatkan anggota kita agar jangan terbabit dalam perkara yang menjadi kesalahan yang melanggar ‘term of services’.

“Jika ianya berlaku dan masih berlaku dan didapati ada anggota yang didapati terbabit (buli) dan tidak mengendahkan larangan itu, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sehingga membolehkan ia dibuang kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada di Majlis Rumah Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Wisma Perwira, di sini hari ini.

Ia bagi mengulas kejadian lima pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendakwa dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.

Kejadian terbongkar selepas keluarga seorang daripada mangsa tampil membuat laporan polis serta memuat naik ke media sosial Twitter.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata siasatan berhubung kes itu kini sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta siasatan dalaman oleh Kementerian Pertahanan.

“Kita akan lihat nanti hasil daripada siasatan yang dilakukan kerana kita tidak boleh terus menjurus kepada sesuatu perkara tanpa kita dapat tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Buat masa ini, kita tunggu hasil siasatan yang dibuat oleh PDRM dan kita sendiri,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dilaporkan berkata, enam suspek yang didakwa terbabit dalam kes buli membabitkan lima pelatih TUDM itu sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya, setakat ini suspek terbabit tidak ditahan sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

“Setakat ini, kita telah merakam lebih 10 keterangan daripada saksi, suspek dan mangsa, namun siasatan lanjut masih sedang berjalan.

“Kita akan memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia untuk mendapatkan seberapa banyak keterangan berhubung kes terbabit,” katanya

Loading...
Terkini