Oleh Buletin Tv3
PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) memohon maaf berhubung insiden dua kenderaan pasukan itu yang rosak sehingga mengakibatkan kesesakan jalan raya pada semalam dan pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya Markas TDM memaklumkan dua kenderaan iaitu kereta kebal jenis PT-91M Pendekar dan Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai (Prime Mover) terbabit dalam insiden itu.
Katanya, kejadian pertama pada jam 10.30 pagi semalam membabitkan sebuah kenderaan PT-91M Pendekar mengalami kerosakan di Jalan Damansara, iaitu di susur keluar Carcosa ke KL Sentral.
“Kenderaan itu baru selesai menjalani raptai perbarisan dan dalam perjalanan ke tempat parkir Kenderaan Jenis A (KJA), sebelum berhenti secara tiba-tiba akibat masalah enjin yang dihadapi sekitar jam 10.30 pagi.
“Armoured Recovery Vehicle (ARV) kemudian diatur gerak bagi memberi bantuan menarik kenderaan itu dan berjaya dialihkan ke tempat parkir KJA di Muzium Negara pada jam 11 pagi untuk kerja pembaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, insiden kedua pula berlaku jam 11.26 pagi tadi, membabitkan sebuah Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai yang dalam perjalanan balik ke Kem Perdana Sungai Besi dan mengalami masalah enjin tidak dapat dihidupkan.
“Untuk makluman, sebanyak 129 aset kenderaan TDM terbabit dalam perarakan sempena Hari Kebangsaan kali ini.
“TDM memohon maaf susulan dua insiden yang berlaku,” katanya.
Kenyataan itu menambah, TDM akan memastikan kejadian sebegini tidak berulang dan sekiranya berlaku, ‘Recovery Team’ bersama KEMBALIK yang berada di lokasi berhampiran akan bertindak pantas menunda kenderaan itu bagi mengelak kesesakan lalu lintas.