Oleh: Kumaran Rajamoney
BAGAN DATUK: Kerajaan telah membuat kesiapsiagaan aset dan petugas daripada pelbagai agensi bagi menghadapi banjir di negeri Sabah dan Sarawak yang berhadapan Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengadakan mesyuarat koordinasi bersama jawatankuasa bencana di peringkat negeri bagi memobilasisi aset di tempat berisiko banjir.
“Kesiapsiagaan ini termasuk dengan menempatkan jambatan bailey yang dikoordinasikan bersama Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan pembinaan sekiranya terdapat lokasi yang terputus hubungan akibat jambatan runtuh.
“Pembinaan akan dibuat dalam tempoh 72 jam selepas kajian kesesuaian muka bumi dijalankan. Begitu juga perkara yang diselia Jabatan Kebajikan masyarakat termasuk mobilisasi sukarelawan dan bantuan makanan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau yang juga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menjelaskan, pemantauan berterusan juga akan dijalankan oleh Jabatan Meterologi bagi mengemaskini data penurunan hujan dan air pasang bagi memberikan amaran awal.
Ia berikutan 13 stesen meteorologi utama yang merekodkan hujan harian melebihi 20 milimeter (mm).
“Amaran ini akan dikeluarkan tujuh hari, lima hari dan tiga hari sebelum fenomena air pasang.
“Justeru kita nasihatkan penduduk melakukan persiapan menyelamatkan barang dan dokumen serta berpindah jika ada arahan dikeluarkan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi di sini, hari ini.
Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 6,610 orang mangsa dari 1,792 keluarga dipindahkan ke 47 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri Sarawak akibat banjir.
Manakala di Sabah, seramai 3,550 dari 1,232 keluarga dipindahkan ke 25 PPS.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.