Tumpuan :
Nasional

ASEAN, Turkiye sepakat tangani isu kemanusiaan, bantu Gaza

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: ASEAN dan Turkiye sepakat perkukuh kerjasama bagi menangani isu kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza, sekali gus meringankan penderitaan rakyat Palestin yang berdepan krisis berpanjangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini akan memastikan usaha bantuan ke Gaza mencukupi dan berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini komited memastikan bantuan kepada Gaza mencukupi dan berkesan.

“Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah berbincang dengan rakan sejawat ASEAN dan mereka sebulat suara menyokong usaha membangunkan semula Gaza.

“Kita juga akan meneruskan kerjasama dengan Jepun, di mana Malaysia bertindak sebagai Pengerusi Bersama dalam inisiatif pembinaan semula Gaza,” katanya ketika sidang media bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, di Putrajaya, hari ini.

Malaysia sebelum ini menyatakan komitmen terhadap inisiatif Jepun untuk menganjurkan persidangan Kerjasama Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini, khususnya dalam membangunkan semula Gaza.

CEAPAD adalah kerangka persidangan serantau yang diperkenalkan Jepun pada 2013 bagi menyokong pembangunan Palestin dengan memanfaatkan sumber dan kepakaran negara Asia Timur.

Sementara itu dalam kenyataan bersama, Malaysia dan Turkiye menegaskan komitmen terhadap keamanan dan bantuan kemanusiaan di kawasan konflik, termasuk usaha mengiktiraf Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kedua-dua negara turut menggesa masyarakat antarabangsa menegakkan undang-undang antarabangsa serta menyokong penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini