KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi keutamaan terhadap tenaga dan kesalinghubungan, membina kepercayaan dan keterangkuman dalam kalangan negara anggota ASEAN, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ASEAN tidak seharusnya dipaksa menetapkan pendirian yang membabitkan mana-mana pihak.
“Malaysia dan ASEAN perlu terus berusaha tarik pelabur dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China tanpa dipaksa menyebelahi mana-mana pihak,” katanya ketika ucaptama Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF), hari ini.
Anwar berkata, pendirian Malaysia dan negara ASEAN bersikap berkecuali dan tidak masuk campur dalam masalah membabitkan negara lain masih kekal.
Beliau berkata, ASEAN hari ini perlu berusaha untuk terus menarik pelaburan bukan sahaja daripada AS, Eropah malah dengan jiran terdekat seperti China, India dan Australia.
“Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dan begitu juga rantau ASEAN, perlu terbabit secara lebih agresif dengan pelaburan daripada AS dan Eropah. China menjadi jiran yang penting, malah kita harus terus berbuat demikian bersama Australia, India dan negara-negara lain.
“Disebabkan ini, saya merasakan ASEAN adalah sebuah wilayah berpusat yang mampu terbabit secara dekat mana-mana negara dan masalah yang bukan masalah kita, tidak sepatutnya menekan kita atau berpihak kepada sesiapa,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ASEAN hari ini mengamalkan polisi yang memberi kebaikan kepada semua negara anggota dalam usaha memastikan kesinambungan keamanan serantau.
“Kita bukan sebuah wilayah yang bersaing sesama sendiri tetapi mengutamakan perkara yang inklusif dan mampan yang memberi manfaat anta satu sama lain,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.