Tumpuan :
Nasional

ASEAN perlu tumpu pembangunan PKS – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye sempena lawatan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Putrajaya. Foto NSTP

Oleh: Farah Nabilah Wazer

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ASEAN memberi tumpuan kepada pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau berkata, lapisan kedua ekonomi itu mempunyai potensi besar untuk berkembang sekiranya mendapat sokongan sepenuhnya.

“Kita perlu mewujudkan satu platform bagi memperkasa inovasi, kreativiti dan pembangunan PKS agar ia terus menjadi keutamaan,” katanya.

Tambahnya, PKS adalah tunjang utama ekonomi terutamanya di Malaysia, di mana majoriti perniagaan terdiri daripada PKS.

Berucap dalam Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye siang tadi, Datuk Seri Anwar berkata usaha ini perlu dilaksanakan bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Lembaga Perhubungan Ekonomi Luar Negeri Türkiye (DEİK).

Tambah beliau, Malaysia dan Turkiye mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor.

“Keunggulan Turkiye dalam pertahanan, kekuatan Malaysia dalam semikonduktor, kehebatan Turkiye dalam pelancongan dan teknologi makanan serta keupayaan Malaysia dalam menembusi pasaran ASEAN dan Asia, semuanya membuka ruang luas untuk kerjasama strategik,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar ucapan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye sempena lawatan Presiden Turkiye di Putrajaya. Foto NSTP

Beliau turut memaklumkan, ASEAN merupakan salah satu wilayah paling aman di dunia selain menjadi rantau ekonomi yang berkembang paling pesat.

Justeru, beliau optimis sinergi antara Turkiye dan ASEAN akan membawa manfaat besar kerana asas kerjasama kedua negara adalah kepercayaan dan persahabatan.

“Saya yakin kita (Malaysia dan Turkiye) berkongsi impian yang sama bukan hanya untuk Malaysia, tetapi juga untuk ASEAN,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini